‘Zainab!’
Zainab yang sedang memilih pakaian Qadeer menoleh sedari namanya dipanggil.
Eh… Dia seperti mengenali lelaki yang berpakaian segak dan berkaca mata itu.
Itu…. Itu Syed Hamdan!
Zainab tidak memberikan respon. Hatinya mati tiba-tiba. Inilah kali pertama dia berjumpa Syed Hamdan setelah hubungan mereka diputuskan berpuluh tahun dulu. Ternyata lelaki itu sudah terlalu banyak berubah.
‘Bonda, ingat tak Zainab?’ Syed Hamdan menarik seorang wanita separuh umur yang masih bergaya dengan abaya hitam. Cuma bezanya dulu dan kini wanita itu sudah mengenakan hijab penuh di kepala. Zainab pasti itulah Paduka Syarifah Zahrah yang pernah memberikan kata dua kepadanya. Sesungguhnya dia berdebar, sangat berdebar. Dengan pertemuan yang tidak dijangka, pantas saja kenangan lama berlegar di minda.
‘Zainab?’ Kelihatan dahinya berkerut. Barangkali cuba mengingati sesuatu.
‘Bonda dah lupa? Ini……’
‘Apa khabar puan?’ Zainab segera menghulurkan salam walaupun tidak berapa yakin yang salamnya akan bersambut. Dia tidak mahu Syed Hamdan terus mengingatkan memori silam. Kalaupun Paduka Syarifah Zahrah tidak mengenalinya, itu tidak mengapa.
‘Oh ya. Ya…makcik ingat.’ Dia menyambut huluran tangan Zainab dan menggenggamnya erat. Malah tanpa disangka wanita itu turut memeluknya. Zainab terkesima. Perilaku Paduka Syarifah Zahrah persis seorang ibu yang penyayang. Sangat berbeza dengan sikapnya yang dahulu. Alhamdulillah dia sudah berubah.
‘Maafkan makcik Nab, makcik banyak berdosa pada kamu dan Hamdan.’
‘Yang dah lepas tu usahlah dikatakan lagi puan. Alhamdulillah saya tak apa-apa. Saya bahagia sekarang.’ Sesungguhnya Zainab sudah melupakan apa yang telah berlaku. Ceritanya dengan Syed Hamdan sudah tiada dalam memori. Malah dia tidak berdendam. Matanya melilau mencari Syarifah Soffea yang tidak kelihatan di mana-mana. Dia tertanya-tanya di mana menantu pilihan Paduka Syarifah Zahrah. Dia ingin juga mengenalinya.
Syed Hamdan hanya memerhati bicara bondanya dengan Zainab. Pertemuan yang tidak disangka itu memang bisa meluruhkan jantungnya. Masakan tidak, dia tidak pernah rela dengan perpisahan mereka dulu. Puas dia merayu pada bonda agar menerima Zainab seadanya…puas juga dia berendam air mata dengan kata putus yang diberi. Dan sesungguhnya dia berharap bonda mengerti deritanya. Dan kini apabila dia melihat Zainab di depan mata, masih juga seperti Zainabnya yang dulu, dia sangat bahagia.
‘Mama, Qalish dah beli ni…’ Satu suara halus menyapa dari belakang.
‘Qadeer pun beli juga mama.’ Dua plastik berisi buku cerita ditunjukkan. Nampaknya mereka berdua dengan Kak Ija sudah selesai di kedai buku.
‘Maafkan saya puan, ini anak-anak saya Qalish dan Qadeer. Salam nenek sayang.’
Anak? Ahhhh…nampaknya Zainab sudah berkahwin.
Qalish dan Qadeer menyalami dan mencium tangan kedua insan di depannya. Masing-masing tidak takut walaupun ini kali pertama bersua muka.
‘Puan, saya terpaksa pergi dulu ya. Ada urusan yang perlu diselesaikan.’
‘Nab kalau ada masa datanglah ke rumah. Boleh kita besembang panjang lebar.’ Paduka Syarifah Zahrah memeluk Zainab sekali lagi.
‘InsyaAllah…’
Dan pertemuan itu berakhir dengan Syed Hamdan masih memandang ke arah Zainab dengan pelbagai persoalan di benaknya..
Anak-anak masih belum balik dari sekolah ketika Zainab sampai di rumah. Hanya Kak Ija yang sedang mengemas menyambutnya pulang. Dia pulang awal untuk menyambut kedatangan keluarganya ke rumah, mereka kebetulan ada urusan di Kuala Lumpur. Maka sempatlah mereka anak menantu makan tengah hari bersama. Zainab memasak lauk kampung lengkap dengan sambal belacan dan segala ulaman. Kegemaran bapa mertuanya.
Puan Kamsiah dan Encik Daus sampai hampir serentak dengan kepulangan Qadeer dan Qalish dari sekolah. Suka sangatlah anak-anak berjumpa dengan atok dan nyai mereka. Dah lama juga Zainab tidak ke Johor Bahru. Jadi kedatangan mereka ke Kuala Lumpur memang sangat dinantikan.
‘Kamu sihat Nab?’ Tanya Encik Daud. Dia perasan Zainab agak kurus.
‘Alhamdulillah abah. Nab sihat aje. Cuma yalah sekarang ni sibuk sikit dekat pejabat. Anak-anak pun memerlukan perhatian lebih.’
‘Kamu kena jaga kesihatan Nab. Jangan kerja berlebih sangat. Mak risau lihatkan kamu ni. Dah semakin susut nampaknya.’
‘Janganlah mak risaukan Nab. Mak dengan abah tu yang kena jaga diri. Nab ni duduk jauh, tak boleh nak balik tengok mak selalu. Maafkan Nab ye mak, ayah.’
‘Ya lah atok, mama tu selalu kerja aja. Bila Qalish ajak jalan-jalan selalu mama kata sibuk.’ Tiba-tiba Qalish mengadu dengan atoknya. Memang Zainab akui kadang-kadang ada menolak ajakan Qalish kerana kesibukan dan penat.
Tetapi anak-anak yang masih kecil masakan memahami tanggungjawab yang digalasnya. Dengan segala daya yang dia ada, dia harus tabahkan diri menghadapi semua ini.
‘Kak Ija, minggu lepas saya terserempak dengan Syed Hamdan. Bondanya pun ada sama.’
Kak Ija yang sedang mengemas dapur ketika itu pantas berpaling kepadanya. Emak dan abah mertuanya telahpun balik ke JB petang tadi juga.
‘Macam mana dia sekarang?’
Selain emak dan ayah, Kak Ija adalah individu yang mengetahui sejah silamnya dengan Syed Hamdan.
‘Dia nampak macam tak sihat je, bondanya pun dah berubah, kalau dulu jangan harap la nak salam dengan kita yang kebanyakan ni, tapi siap dipeluknya saya.’
‘Alhamdulillah, dah berubah la tu.’
‘Saya ingatkan dah tak berjumpa dengan mereka tu.’
‘Kuasa Allah Nab, mungkin ada hikmahnya.’
‘Ha ah Kak Ija, saya pun fikir begitu juga. Bukan kita nak kenangkan cerita lama.’
‘Habis tu, Nab macam mana?’
Macam mana apa yang dimaksudkan Kak Ija?
‘Macam mana apa kak…saya ok je.’
‘Dah tua kak, tak ada nak fikir kenangan lama dah.’
Tegas Zainab lagi setelah melihat Kak Ija merenungnya.
‘Kak Ija tahu Nab…’
0 komentar:
Posting Komentar