Selasa, 27 Agustus 2013

PENCEMARAN BAHASA

SEBAGAI PENCINTA haiwan, saya tertarik dengan tajuk berita dalam akhbar Berita Harian semalam yang berjudul "Masalah Anjing Dapat Perhatian". Dengan foto iringan laporan itu, saya berasa simpati melihat anjing itu. Hal ini membuatkan saya tertanya-tanya, "Apakah bentuk bantuan yang diberikan kepada anjing-anjing itu bagi menyelesaikan masalah mereka yang bergelandangan?" "Apakah anjing-anjing itu selamat daripada usaha mudah sesetengah pihak yang memilih untuk membunuh anjing-anjing tidak bertuan?" Ini ialah jangkaan-jangkaan saya berdasarkan judul berita itu.


Walau bagaimanapun, apabila selesai membaca laporan tersebut - segala tanggapan saya itu ketara salah. Berita itu bukan mengenai "masalah anjing". Akan tetapi gangguan dan masalah yang dihadapi satu kejiranan ekoran kegiatan anjing-anjing liar menyelongkar peti-peti sampah mereka. Hal ini menjelaskan usaha pihak akhbar yang cenderung mensensasikan judul bagi menarik perhatian pembaca, tanpa menitikberatkan aspek makna yang tepat dalam sistem bahasa Melayu itu sendiri.

Dalam bidang penulisan, judul memainkan peranan yang penting dalam ikatannya dengan isi (content). Seperti nama dan pemilik nama. Begitu hubungan antara judul dengan penulisannya. Judul menentukan hala tuju perbincangan dan jangkaan terhadap kesimpulan yang bakal diperoleh pada akhir pembacaan. Dalam bidang akademik, judul yang tepat dengan isi amat dititikberatkan. Kebiasaan ini adalah perkara yang baik untuk diamalkan bagi mencorak penulisan yang lebih objektif. Sesetengah pengguna bahasa melihat usaha ini sebagai satu kaedah mencipta kelainan. Akan tetapi, jika kelainan itu menjurus kepada penyelewengan makna, apakah erti dan manfaatnya?

Perkara ini berlaku ekoran daripada 'kebebasan'  dalam penggunaan bahasa kewartawanan yang boleh dikatakan mengutamakan sensasi berbanding ketepatan makna yang digunakan secara bertanggungjawab (sila rujuk tajuk-tajuk berita akhbar arus perdana). Apakah ini baik, khususnya bagi para pelajar yang digalakkan membaca akhbar? Anda jawab sendiri dan jawapan itu mencerminkan tanggapan anda terhadap bahasa kebangsaan itu sendiri.

Frasa "Masalah Anjing" merujuk masalah/konflik yang dihadapi anjing-anjing itu. Umpamanya, masalah ketiadaan atau kesukaran mendapatkan makanan. Masalah kesihatan yang tidak terjaga, masalah tiada tempat perlindungan, berhadapan dengan risiko keselamatan (dipukul, dilanggar, dimatikan). Perkara-perkara inilah yang merujuk frasa "Masalah Anjing" bukan seperti yang dilaporkan di dalam akhbar itu.

Pada hemat saya, walau dalam apa-apa keadaaan sekalipun, tindakan ini memperlihatkan gejala pencemaran/penyelewengan bahasa yang jika tidak diawasi akan merosakkan keindahan dan fungsi bahasa itu sendiri iaitu untuk melancarkan komunikasi. Kelancaran proses ini penting bagi membantu pembaca membaca dengan jelas dan betul, sekali gus mengurangkan risiko salam faham dan salah tafsir. Sekiranya pengguna bahasa tidak memahami hakikat bahasa ini, maka bahasa akan rosak di tangan penggunanya sendiri. Barangkali kita boleh bertoleransi jika masalah atau kurang faham kita terhadap perkara-perkara teknikal dan tatabahasa. Akan tetapi, janganlah pula kita juga bersikap 'terbuka' apabila berlakunya penyelewengan atau peminggiran terhadap penggunaan makna yang tepat.

Pada masa ini, bukanlah satu kejanggalan bagi sebilangan pengguna bahasa menerima baik idea sarjana bahasa yang menafikan peraturan dan hukum tatabahasa yang mantap. Bagi sarjana seperti ini, kebiasaan yang diterima masyarakat sentiasa dianggap wajar dan sesuai dengan sistem bahasa Melayu. Pada saya, inilah pandangan yang menghalalkan kemasukan-kemasukan perkataan-perkataan yang picisan bentuk dan maknanya seperti pakwe [teman lelaki seorang wanita], awek [panggilan yang biasa dihubungkan dengan seorang gadis] dalam Kamus Dewan Edisi Keempat yang penuh kontroversi itu. Samakah nilai kata bahasa antara 'awek' dengan 'gadis'?

Pada hemat saya, adalah tidak wajar untuk pengguna bahasa menafikan hakikat keperluan hukum dan peraturan berbahasa. Hal ini berbalik kepada fungsi hukum dan peraturan yang betul dan benar selalu menjurus pada ketepatan dan keindahan. Setiap bahasa di dunia ini mempunyai sistem nahu tersendiri. Jika pengguna natif berusaha menggunakan bahasa asing dengan sehabis baik, mengapa tidak usaha itu diaplikasikan untuk bahasa kebangsaan dan bahasa ilmu sendiri?

Tidak ketinggalan, saya ucapkan SYABAS dan TERIMA KASIH kepada KERAJAAN  yang meluluskan 'Respek Wanita: Masyarakat Sejahtera' [Penekanan ditambah] sebagai tema Hari Wanita 2013. Barangkali 'respek' itu jauh lebih tinggi nilai katanya berbanding "hormat", "memartabatkan" dan sebagainya atau, kosa kata bahasa Melayu sudah terlalu miskin untuk mencerminkan maksud itu.

Nota : kehadiran Islam mengangkat darjat wanita bukan hanya pada satu tarikh dalam 365 hari, tetapi pada satu zaman sehingga penghujungnya.

Sila rujuk tulisan Dato' Dr. Awang Sariyan berkaitan perkara ini menerusi entri beliau berjudul,  Isu "Respek Wanita" (sila klik).

Kepada rata-rata ahli bahasa, mengapa membisu seribu bahasa? Apakah kerana terlalu selesa menikmati pendingin hawa sambil membaca? Apakah diam tanda setuju, terima atau reda dengan pencemaran bahasa dan kedudukan bahasa Melayu yang sedang tergugat kewibawaannya? Apakah ahli bahasa dan pejuang bahasa itu dua status yang tidak berkait?

Bahasa mencerminkan peribadi.
Bahasa jiwa bangsa.

0 komentar: